Sebarang usaha untuk menyatupadukan rakyat negara ini haruslah memberi keutamaan kepada pengukuhan integrasi kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Katanya, perpaduan nasional adalah elemen penting dalam melahirkan negara bangsa di mana ia boleh membantu mengekalkan kestabilan dan kemajuan Malaysia.

"Pendedahan dan pengetahuan budaya pelbagai kaum penting untuk semua pihak untuk saling mengenali. Integrasi dan kefahaman mengenai konsep silang budaya ini perlu menjadi keutamaan untuk kita belajar hidup bersama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Fiesta Merdeka 2017 di Asia Pacific University (APU) di sini, pada Sabtu.

Program hasil kerjasama antara Sekretariat Rukun Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri dan APU itu bertujuan menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa.

-- BERNAMA